Zulin, Ahya bukan lagi ‘kawan’ di Instagram

0
27

KUALA LUMPUR: Artis pelbagai bakat, Zulin Aziz, bertindak untuk tidak lagi mengikuti teman akrabnya, Ahya Rosli, di Instagram bagi mengelakkan tekanan daripada mereka yang tak menyukai perhubungan terjalin di antara dua selebriti itu.

Begitupun, kata pelakon, penyanyi dan penyampai radio terbabit, dengan berbuat demikian ia tidak bermakna dirinya dan model tinggi lampai berkenaan kini bermusuh.

“Kami tidak bergaduh, malah masih berkawan baik walaupun masing-masing tidak lagi saling mengikuti di laman Instagram.

“Saya sendiri sudah lama sebenarnya tidak menjadi pengikut Ahya di laman sosial bergambar itu. Cuma dia saja yang baru menyedarinya dan bertindak melakukan perkara sama.

“Saya berbuat demikian sebagai jalan selamat daripada memeningkan diri untuk memikirkan segala kata-kata nista dan persepsi orang luar terhadap hubungan kami,” katanya kepada BH Online.

Pada satu tahap, kata Zulin, dia menjadi rimas apabila orang luar bagaikan lebih tahu serba-serbi mengenai persahabatan mereka.

“Malah, ada yang sakit hati dan tidak suka kami berkawan baik. Jadi, mereka memburuk-burukkan keakraban saya dengan Ahya. Dalam soal kecaman pula, ia sudah menjadi perkara biasa.

“Lebih daripada itu, saya pernah mendapat mesej peribadi di laman berkenaan, yang meminta supaya saya tidak lagi berkawan dengannya,” kata Zulin.

Apapun, kata wanita yang turut dikenali sebagai pengacara ini, Ahya seorang kawan yang baik.

“Usah risau mengenai persahabatan kami. Saya dan Ahya masih lagi baik. Mungkin dengan cara saya tidak lagi mengikutinya di laman sosial, ia boleh memuaskan hati mereka di luar sana itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here