Eleena dapat tawaran ketika buat liputan

0
38

KUALA LUMPUR: Belum sampai setahun menceburi dunia lakonan, tuah menyebelahi Eleena Sui apabila beliau ditawarkan membintangi filem hasil kerjasama produksi Malaysia-Indonesia.

Menjalani penggambaran selama 10 hari pada Ogos lalu di Bandung, filem yang bakal ditayangkan di kedua-dua negara itu bagaimanapun, belum mempunyai judul muktamad.

Menurut pelakon kacukan Melayu-Cina yang lebih dulu dikenali sebagai pengacara itu, tawaran berkenaan diterimanya ketika membuat liputan filem, Bukan Cinta Malaikat, di Indonesia, Julai lalu.

“Saya anggap tawaran terbabit sebagai rezeki terpijak. Saya memang tidak menyangka apabila ada produksi begitu berani menawarkan watak utama kepada saya ketika sedang bertugas.

“Mereka juga tidak mengambil masa yang lama untuk sepakat memberikan watak bernama Maya kepada saya.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir undangan berlakon filem akan datang begitu pantas. Saya ingatkan, tawaran yang datang pada peringkat awal ini hanyalah untuk drama atau telefilem. Dalam hati juga saya selalu berasa, mungkin peluang berlakon filem hanya akan menjelma selepas lima tahun saya mengutip pengalaman dalam bidang berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Kata Eleena, selain beliau, antara pelakon Malaysia lain yang terbabit dalam produksi itu ialah Joey.

“Saya boleh dikira beruntung kerana filem berkenaan akan turut ditayangkan di Hong Kong, Brunei dan Singapura, selain Malaysia serta Indonesia. Ia mungkin menemui penonton di pawagam pada awal 2018,” katanya yang mencuba bakat lakonan buat julung kali menerusi drama, Suri Hati Mr Pilot.

Bercerita lanjut, Eleena berkata, filem terbabit antara lain berkisar pada pembunuhan kejam dilakukan ke atas watak lakonannya. Akhirnya, wanita itu kembali dalam bentuk roh untuk membalas dendam.

Eleena, yang mendirikan rumah tangga pada Februari lalu, juga mengaku banyak belajar sepanjang proses penggambaran dilakukan, walaupun ia mengambil masa yang singkat.

“Etika dan cara kerja produksi filem ini sangat ketat serta padat. Bayangkan, penggambaran tamat agak lewat dan keesokannya, pagi-pagi lagi kami sudah perlu berada di lokasi semula.

“Syukur, saya berjaya melunaskan penggambaran tanpa banyak masalah,” katanya yang kini mempertimbangkan tawaran membintangi filem kedua, yang dijangka memulakan penggambaran November depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here