Biarlah apa mereka nak kata – Elfira Loy

0
23

KUALA LUMPUR: Pelakon, Elfira Loy, enggan terlalu memikirkan kecaman netizen terhadap majlis pertunangannya dengan penyanyi, Sufian Suhaimi, Jumaat lalu.

Katanya, apa yang lebih penting, majlis berkenaan sudah selamat dilangsungkan dan dirinya kini bergelar tunangan kepada penyanyi lagu Terakhir itu.

“Bagi saya, biarlah mereka hendak berkata apa pun mengenai majlis pertunangan kami, tempoh hari. Saya bersyukur kerana kami berdua sudah selamat ditunangkan.

“Mereka yang memperkatakan mengenai majlis terbabit dan dengan mudah menjatuhkan hukum pula sebenarnya terbukti tetap mengambil tahu mengenai perkembangan kami, biarpun kononnya mereka kata tidak peduli.

“Malah, saya juga sedar, tidak kurang pengikut di laman Instagram yang terang-terangan membuat provokasi dengan pertanyaan apakah saya sudah bernikah? Sedangkan sudah jelas ditulis, ia hanyalah majlis pertunangan,” katanya.

Kata pelakon yang kini sibuk di lokasi drama Kerna Syurga Bukan Percuma itu, seperti Suhaimi, beliau pada hakikatnya menginginkan sebuah majlis yang sederhana.

“Namun, apabila kita dikelilingi oleh mereka yang menjadi tulang belakang dan sudi menghulurkan kerjasama, masing-masing diberikan ruang untuk berkarya. Saya anggap semua itu sebagai rezeki dan hadiah tajaan cukup bermakna.

“Ada juga di antara mereka yang julung kali bekerjasama dengan saya. Justeru, majlis berkenaan secara tidak langsung menjadi ruang terbaik untuk mereka memperkenalkan perniagaan masing-masing. Ia sesuatu yang baik untuk jangka panjang. Saya sendiri tidak nampak sesuatu yang salah pun di situ,” katanya.

Sufian juga sebelum ini menegaskan beliau enggan melatah dengan pandangan negatif dan kritikan orang ramai terhadap majlis cukup bermakna buat dirinya dan Elfira.

Jumaat lalu, selain pujian, majlis pertunangan mereka yang dilihat cukup gah, umpama acara perkahwinan, turut mengundang kecaman netizen.

Bukan sekadar mendapat tajaan beberapa pihak, malah majlis di kediaman keluarga pelakon wanita itu, di sini, juga menyaksikan Sufian dan Elfira mengenakan dua pasang pakaian, selain bersanding di atas pelamin berhias cantik.

Pasangan ini dijangka berkahwin pada Mac tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here