20 lagi ahli Geng Pak Su didakwa

0
14

ALOR SETAR: Sekumpulan 20 lelaki yang juga anggota Geng Pak Su yang mendalangi aktiviti penyeludupan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, di sini didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang sejak dua tahun lalu.

Semua tertuduh dihadapkan secara berasingan di hadapan Hakim Amernuddin Ahmad, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada 20 lelaki terbabit.

Berdasarkan pertuduhan 16 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pak Su antara tempoh 1 Januari 2015 hingga 11 September lalu.

Mereka ialah Fairus Hafiz Mohd Yusoff, 24; M Murugan, 36; Rosli Ariffin, 40; Sariman Idris, 42; Mohd Norhizam Zamzuri, 29; Faizol Sobri Romli, 29; Amirul Ashraf Hussain, 20; Muhamad Ashraf Aziz, 23; Faizal Azlyshah Romli, 33; Aziz Othman, 56; Muhamad Asrun Amir Hussain, 23; Muhammad Luqman Hakim Zainal, 18; Nur Arif Norzaidi, 19; Muhamad Amir Daud, 22; Norhasrul Izwan Noraini, 33 dan Joni Yakub, 37.

Baki empat lagi tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pak Su antara tempoh 1 Januari 2015 sehingga 13 September lalu.Mereka ialah Zamzuri Aziz, 22; Shamsol Long, 45; Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21 dan Mohamad Rozaidi Sabu, 26.

Semua tertuduh didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 130 (V) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris zainuddin dan Mohd Izhanudin Alias, manakala hanya seorang tertuduh sahaja iaitu Aziz diwakili peguam, G Ravi Shankar.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin berikutan kes berkenaan termasuk dalam jadual pertama Akta SOSMA 2012 dan menetapkan sebutan semula pada 20 Oktober depan.

Sementara itu tinjauan BH mendapati seramai 15 anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) lengkap bersenjata mengawal semua tertuduh dan sekitar ruang legar Mahkamah Sesyen 1.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here