PRU-14: Ku Nan sedia lawan Dr. M di Putrajaya

0
15

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak gentar untuk bertanding melawan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, beliau yakin untuk memenangi hati pengundi Putrajaya setelah memenangi beberapa PRU di parlimen tersebut.

Katanya, beliau mendapat tenta­ngan daripada pihak pembangkang sejak PRU Ke-11 iaitu pada 2004.

“Saya percaya pengundi-pe­ngundi Putrajaya tahu prestasi saya sebagai wakil rakyat. Saya dengan penduduk Putrajaya se­perti keluarga walaupun pengundi berjumlah 25,000 orang, saya akan dekati mereka dan bertanya masalah.

“Perkara utama adalah bagaimana menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka dan dekati hati mereka. Kalau buat begini, rakyat akan bersama dengan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MyPPP Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Jentera PRU-14 MyPPP di Institut Latihan DBKL, di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas dan dan Naib Presiden Kanan MyPPP, Datuk Maglin Dennis D’Cruz.

Baru-baru ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memberitahu media bahawa terdapat kemungkinan untuk beliau bertanding di Putrajaya pada PRU akan datang.

Pada PRU-11 (2004) dan PRU-12 (2008), Tengku Adnan ditentang oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Abdul Rahman Othman manakala bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula pada PRU-13 iaitu pada tahun 2013.

Ketika ditanya mengenai calon-calon BN yang akan bertanding pada PRU-14, katanya, hal itu terletak kepada keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, katanya, semua calon dari parti-parti komponen boleh menyuarakan hasrat masing-masing

“Kita tunggu Pengerusi BN akan menentukan siapa calon, kita tunggu sahajalah. Semua boleh menyuarakan hasrat, ma­cam di sini Bandar Tun Razak pun ada orang nak bertanding. MyPPP pun nak bertanding. Namun, akhirnya kita akur terhadap apa Pengerusi BN cakap. Ini konsep kita,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here