Atlet OKU antara calon PT3 di Kedah

0
14

ALOR SETAR: Keadaan dirinya selaku orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran tidak menghalang Muhammad Shafiq Makhtar, 17, untuk menduduki ujian Petaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang bermula hari ini.

Seperti pelajar lain, Shafiq yang menjuarai acara rejam lembing pada Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Kebangsaan 1Malaysia 2017 pada Ogos lalu, tetap gigih melakukan persiapan untuk memastikan keputusan yang cemerlang.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary (Integrasi) di Jalan Stadium itu mengakui melakukan persediaan seperti pelajar lain dengan meluangkan masa lebih dua jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran.

“Selain membuat latihan, saya pastikan solat mencukupi serta banyak berdoa agar dipermudahkan untuk menjawab PT3 hari ini.

“Saya harap akan lulus semua lapan subjek PT3…walaupun saya aktif dalam sukan saya tidak mahu abaikan pelajaran kerana ia akan jadi bekalan untuk saya di masa depan,” katanya yang bercita-cita mewakili negara ke peringkat tertinggi dalam sukan itu.

Shafiq adalah antara 26 pelajar aliran pendidikan khas di SMK Syed Mohamed Al-Bukhary (Integrasi) yang menduduki PT3 hari ini termasuk apan atlet yang mewakili negeri Kedah pada Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Kebangsaan 1Malaysia 2017 yang berlangsung pada 13 hingga 16 Ogos lalu di Pusat Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Penolong Kanan (Pendidikan Khas) sekolah berkenaan, Muhamad Nidzar Sulaiman, berkata 26 pelajar terbabit mempunyai masalah pendengaran (pekak dan bisu) adalah daripada 144 calon sekolah berkenaan yang menduduki peperiksaan itu selama empat hari bermula hari ini.

“Pada tahun ini, calon OKU yang menduduki PT3 adalah paling ramai berbanding tahun sebelum ini iaitu antara 12 hingga 16 orang.

“Sebagai persediaan, seramai 12 guru pendidikan khas bertungkus lumus membantu pelajar ini mengulangkaji pelajaran, selain memberi tumpuan dalam topik penting agar calon dapat lulus dalam semua mata pelajaran,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Seorang lagi calon OKU, Muhammad Adnan Abdul, 16, menaruh harapan untuk cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dan Geografi kerana sangat meminati dua subjek itu.

“Setiap malam sebelum mengulangkaji pelajaran, saya akan membaca Al-Quran terlebih dahulu supaya saya lebih tenang dan mudah melakukan urusan harian sebagai seorang pelajar.

“Biarpun tergolong dalam golongan OKU, saya tetap bercita-cita untuk berjaya dalam kehidupan selain dapat membantu bapa saya yang bekerja sebagai pesawah,” katanya yang mewakili Kedah dalam acara rejam lembing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here