Penganjuran Jelajah Malaysia edisi ke-53 cemerlang

0
21

ALOR SETAR 8 Okt. – Tidak keterlaluan jika disifatkan penganjuran Jelajah Malaysia edisi ke-53 kali ini ‘nyaris’ sempurna dan langsung tidak dihujani kontroversi sepanjang lima hari perlumbaan sejauh 682.3 kilometer (km) itu yang bermula sejak Selasa lalu.

Tidak seperti beberapa edisi sebelum ini, yang pernah terpalit dengan isu penginapan dan kenderaan pengiring, mahu pun kelewatan membayar wang hadiah kemenangan, JM 2017 seakan mengubati luka terdahulu, sekali gus memartabatkan kembali jelajah berbasikal tertua di ASEAN itu.

Bagaimanapun, penganjur­nya, Life Profit Sdn. Bhd. masih belum boleh menarik nafas lega di sebalik rekod bersih itu, memandangkan beberapa perkara seperti pembayaran kontraktor dan wang hadiah kemenangan sedang dalam proses penyelesaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Life Profit, Noraidiazhar Sulaiman berkata, pihaknya telah melaksanakan pendekatan terbaik dalam usaha menepis kontroversi daripada menghinggap JM kali ini.

“Untuk pembayaran kepada kontraktor, kita dah lunaskan 80 peratus bayaran kepada mereka. Selebihnya kita akan selesaikan dalam masa se­bulan. Begitu juga dengan hadiah kemenangan, kami akan selesaikan dalam masa sebulan seperti yang dijanjikan kepada PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia).

“Bagaimanapun jumlah bayaran kepada pelumba itu bergantung kepada ujian doping yang dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamatnya perlumbaan peringkat akhir di Menara Alor Setar di sini, semalam.

Menariknya pada edisi kali ini, penganjur menyajikan kelainan de­ngan buat julung kalinya Gunung Jerai yang berketinggian 1217 meter dari aras laut itu, terbabit dalam zon pendakian berstatus hors class.

Selain itu, tiga pelumba tempatan menerusi Terengganu Cycling Team (TSG) terdiri daripada Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Adiq Husainie Othman dan Hariff Saleh masing-masing menjuarai peringkat pertama, kedua dan kelima, manakala pasukan negara, Team Sapura Cycling (TSC) dinobatkan selaku pasukan terbaik JM 2017. Mengulas lanjut Noraidiazhar berkata, Life Profit berhasrat mengemudi JM pada masa akan datang jika PKBM memberi kepercayaan dan melanjutkan kontrak penganjurannya.

“Jika kita masih menjadi pe­nganjur, kita akan terus membuat kelainan dari segi menaik taraf perlumbaan. Contohnya kita mungkin akan menambahkan jarak perlumbaan serta pe­ringkat lagi perlumbaan kepada tujuh.

“Buat masa sekarang kita hanya mahu anjurkan kejohanan ini sahaja dan Insya-Allah kami akan naikkan status JM ini daripada 2.2 kepada 2.1.

“Untuk anjurkan kejohanan lebih besar seperti Le Tour de Langkawi bukan sesuatu yang mudah. Berikan kami masa dalam masa beberapa tahun,” katanya yang turut berjaya me­ngurangkan kos JM 2017 kepada 3.8 juta berbanding bajet 4.5 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here