Anggota polis berpangkat Sarjan dituduh rasuah

0
11

ALOR SETAR 9 Okt. – Seorang anggota polis wanita berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini kerana meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Sarjan Afifah Zainal Abidin, 28, yang pada masa itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Bahagian Siasatan Jabatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pada 13 Disember 2015 kira-kira pukul 11.40 pagi didakwa meminta suapan berjumlah RM2,000 daripada Ahmad Termizi Mohd. Izham.

Permintaan tersebut dibuat menerusi panggilan telefon yang mana semasa kejadian Ahmad Termizi berada dalam Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daerah Kota Setar.

Bagi pertuduhan kedua, pada 15 Disember 2015 kira-kira pukul 12.10 tengah hari, tertuduh didakwa menerima wang suapan berjumlah RM2,000 daripada individu sama di Restoran Zeefee, Jalan Pegawai, dekat sini.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan supaya tertuduh menangguhkan proses pertuduhan Ahmad Termizi di mahkamah berhubung kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Pertuduhan-pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Negeri, A. Hafiizh Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam bela, Ruzanna Abdul Halim.

Hakim, Amernudin Ahmad kemudiannya menetapkan jaminan berjumlah RM7,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula pada 13 November depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here