TSC berpeluang lakar sejarah

0
40
GURUN 06 OKTOBER 2017. Pelumba dari pasukan Sapura Cycling (TSC) , Perez Munoz Wilmar Jahir meraikan kemenangannya selepas menamatkan perlumbaan sejauh 101.3 kilometer pada peringkat keempat Jelajah Malaysia 2017 yang bermula dari Kulim ke puncak Gunung Jerai.

GURUN 6 Okt. – Team Sapura Cycling (TSC) berpeluang melakar sejarah dalam pelumbaan berbasikal Jelajah Malaysia (JM) setelah pelumbanya Victor Nino Corredor kini menduduki tempat kedua keseluruhan, hanya 24 saat di belakang pemegang jersi kuning.

Dengan peringkat terakhir akan berlangsung esok, pelumba dari Colombia itu mencerahkan peluangnya untuk menjuarai kategori individu keseluruhan setelah menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan peringkat keempat hari ini, sekali gus merapati pemegang jersi kuning Brendon Davids.

Corredor menaiki podium ketiga hari ini berbekalkan catatan masa dua jam, 52 minit dan 31 saat manakala tempat pertama diraih rakan sepasukan Wilmar Jahir Perez Munoz (2’50.41s), diikuti Samuel Volkers dari CCN Cycling Team (CCN) kedua (2’51.22s).

Keputusan itu sekali gus menempatkan Corredor di anak tangga kedua dalam kedudukan keseluruhan, ketinggalan 24 saat kepada Davids dari Oliver’s Real Food Racing (OLI) yang unggul menerusi catatan 13’26.09s.

“Jika dilihat perbezaan 24 saat sebenarnya agak sukar. Sebab ketika perlumbaan terakhir esok laluannya agak landai, hanya melibatkan satu zon pendakian, jadi peluang sangat terbuka kepada mana-mana pasukan. Namun tidak mustahil TSC mampu memenangi jersi kuning esok. Apa sahaja boleh berlaku dalam perlumbaan.

“Kami tidak boleh mendedahkan strategi terlalu awal. Saya harap setiap pelumba pasukan ini memberikan yang terbaik pada hari terakhir. Kita akan lihat persaingan esok bagaimana,” kata jurulatih TSC, Sergi Escobar selepas tamat perlumbaan peringkat keempat, yang bermula dari Kulim dan berakhir di Gunung Jerai di sini hari ini.

Sementara itu, Perez Munoz mengesahkan kemenangannya selaku raja bukit (jersi polka-dot) lebih awal untuk JM edisi ke-53 ini setelah unggul dengan 29 mata, tujuh mata di depan pelumba di tempat kedua Davids yang tidak berpeluang lagi memintasnya memandangkan hari terakhir hanya menawarkan empat mata maksimum.

Selain Davids, tiga lagi pelumba yang masih mengekalkan status masing-masing adalah pemegang jersi kelabu (pelumba muda terbaik) Ryan Thomas dari OLI; jersi hijau (raja pecut), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (Terengganu Cycling Team), jersi merah (pelumba terbaik Malaysia) Zawawi Azman (TSC).

Perlumbaan peringkat ter­akhir esok berupa persaingan satu pusingan sejauh 132.8 kilometer yang bermula dan ber­akhir di Alor Setar, dengan hanya satu zon pendakian di Wang Tepus, selain tiga zon pecutan di Jitra, Pokok Sena dan kawasan penamat itu sendiri.

Sementara itu, Zawawi berkata, dia yakin statusnya selaku pelumba terbaik Malaysia sukar digugat memandangkan laluan di Alor Setar itu lebih mudah berbanding hari ini.

“Saya yakin saya dapat mempertahankan jersi merah sebab laluan terakhir esok tidaklah mencabar seperti hari ini. Apa yang penting saya tak nak buat silap dan cuba kekalkan momentum,” ujar pelumba berusia 23 tahun itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here