UMNO cuma tentang DAP tidak memusuhi masyarakat Cina

0
24

ALOR SETAR 6 Okt. – UMNO tidak pernah berniat untuk memusuhi masyarakat Cina yang sejak sekian lama sentiasa bekerjasama termasuk dalam memastikan kemerdekaan tanah air pada 1957.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu sebaliknya menentang DAP yang kebelakangan ini jelas cuba memecahbelahkan kekuatan kaum Melayu.

Menurutnya, ketika ini DAP amat yakin memiliki undi masyarakat Cina yang dianggap sebagai deposit tetap untuk pembangkang sehingga mendatangkan ‘selera’ lebih besar kepada mereka dalam arena politik tanah air.

“DAP umpama mata kapak yang tajam, namun besi semata-mata tidak mampu memotong kayu sehinggalah ada kayu yang bersubahat menjadi hulunya dan membentuk kapak. Akhirnya, terbelahlah kayu kerana kayu yang lain.

“Sebab itu mereka bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pas walaupun tidak percaya dengan kedua-duanya. Sama juga keadaannya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ditentang sejak berpuluh tahun dahulu demi memecahbelahkan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang hadirin dalam Majlis Bi­cara Minda dan Sesi Dialog Jelajah Perjuangan Untuk Semua di Ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, malam tadi.

Program itu turut menampilkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, manakala Datuk Shamsul Naj­mi Shamsuddin bertindak selaku moderator.

Begitu pun katanya, sikap DAP itu hanya akan menyebabkan kaum Melayu dan umat Islam menjadi lebih bersatu bagi me­nunjukkan betapa kesatuan yang ada tidak mungkin dapat dipecah belah.

“Saya yakin sahabat bukan Melayu juga mahu menumpang daripada kesatuan dan perpaduan kita yang tentunya membawa lebih kestabilan kepada negara,” katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas itu, Annuar memberitahu, UMNO akan mengambil pendekatan proaktif dalam membantu parti-parti komponen seperti MCA dan Gerakan bagi memastikan mereka dapat kembali meraih kepercayaan masyarakat Cina.

“Kita tidak terfikir untuk membiarkan masyarakat Cina dipengaruhi DAP kerana tindakan tersebut tidak langsung mendatang­kan kebaikan kepada kaum itu mahu pun negara ini.

“Kalau orang Kelabit yang hanya mempunyai ratusan keluarga di Malaysia pun boleh dilantik menjadi menteri, inikan pula masyarakat Cina yang sejak ratusan tahun dulu bekerjasama dengan kita. Kita tidak akan benarkan mana-mana parti politik termasuk DAP untuk meng­a­singkan kaum Cina daripada saf pemerintahan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here